Ceramah: Saya Jurufoto Makan Gaji

Saya akan mengadakan satu ceramah yang bertajuk: Saya Jurufoto makan gaji pada 19 Januari 2018. Penganjur: Perpustakaan Tun Sri Lanang UKM. Ceramah ini akan membicara bagaimana saya melalui detik-detik kehidupan dalam kerjaya sebagai Jurufoto dengan memperolehi kehidupan yang damai dan selesa walaupun tidak berpangkat besar. Ceramah ini diadakan menjelang persaraan saya pada April 2018.

Kepada yang berminat sila hubungi saya di emel: raaios@yahoo.com

01 September 2016

Jadilah pesakit yang beriman

Saya telah menulis agak panjang mengenai tahap kesihatan di Ya Allah Panjangkan Usiaku. Kali ini saya ingin menulis bagaimana saya menempuh hari-hari sebagai pesakit yang ada kalanya tahap semangat menurun pada paras yang rendah. Hal ini adalah biasa bagi seorang yang mengidap sebarang penyakit. Tambahan jika pesakit itu masih boleh berbual dan memikirkan masa depannya.

Ketika kita sakit ramai orang akan datang ziarah. Mereka mencari pahala dan memberi pahala kepada kita. 


Jam 12.30 tengahari, 18 Jun 2015 | 1 Ramadan 1436H saya dibawa
ke bilik bedah. Keluar semula jam 6.30 petang.


Jam 10 pagi tanggal 13 Julai 2016 | 8 Syawal 1437H
Saat saya dibawa ke bilik bedah hanya Allah sahaja
yang tahu perasaan isteri dan anak-anak melihatnya. 
Keluar semula jam 1 petang.


Hukum melawat orang sakit adalah fardu kifayah menurut jumhur pendapat ulama. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra maksudnya :




“Ada lima Hak seorang Islam keatas orang Islam yang lain : menjawab salam, menziarahinya semasa sakit, melawat jenazah, menerima jemputannya, dan mendo’akannya apabila dia. (Rujukan: Sila klik)


Namun tidak dinafikan ramai keluarga dan kawan tidak sempat untuk menziarahi kita kerana faktor jauh dan sibuk dengan keluarga. Harus diingat tidak semua keluarga dan kawan akan menziarahi kita sepanjang masa kerana mereka mempunyai tanggungjawab sendiri dalam hidup ini. Maka kita kena redho dalam perkara ini.

(Kehadiran keluarga dan rakan-rakan tidak dapat dinafikan telah mampu memberi semangat kepada saya ).


Khalil, sahabat lama saya


Kehadiran Ahli Senat UKM (Prof Ir Dr Othman Karim )
dan Pegawai Hal Ehwal Islam HCTM.


Rakan-rakan sepejabat saya.


Kehadiran Naib Canselor UKM, YBhg Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali
telah memberi kekuatan yang amat besar kepada saya


Oleh itu selagi kita dalam keadaan sedar maka kita harus berlapang dada dengan semua keadaan ini. Usah diikut perasaan hati dengan keadaan ini kerana ia adalah cubaan Allah untuk kita. Lagipun tidak semua keadaan pesakit boleh dizaiarahi misalnya pesakit yang mengidap sakit berjangkit. Ada pula pesakit yang perlu direhatkan maka doktor melarang untuk diziarahi.

Pengalaman saya berada di katil Wad 5D Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM)-PPUKM pada 17 hingga 22 Jun 2015, pada 11 hingga 14 Julai 2016, pada 17 hingga 23 Julai 2016 dan 23 Ogos 2016 memberi pengalaman yang amat berharga. Jangka masa yang lama membuatkan Jururawat sudah mengenali saya. Tambahan saya staff UKM maka layanan memuaskan hati  walaupun tidaklah sebagai VIP. 

Layanan sebenarnya bukan seratus paratus kerana saya staff UKM tetapi kerana mungkin saya tak banyak buat kerenah walaupun pada 18 Jun 2016 selepas dibedah saya berada pada tahap separuh sedar. Saya dimasukkan ke wad separa kritikal pada malam 19 Jun. Saya beri bantuan saluran Oksigen setelah pembedahan selama 6 jam pada 18 Jun. Menahan kesakitan adalah perkara penting dalam mengendalikan perasaan.

Bebalik kepada saudara mara dan kawan yang menziarahi saya pasti mempunyai berbagai kerenah. Kerenah ini bukan apa, mereka mahu kita kembali pulih seperti sedia kala. 

  • Kenapa tak berubat cara kampung?
  • Tangguhlah dulu bedah ikhtiarlah cara batin.....
  • Kalau bedah nanti tisu badan akan rosak.
  • Amalkan makan makanan ini.......(dicadangkan berbagai makanan tambahan).
    Gambar CT Scan (berwarna putih sebelah kanan) yang menunjukkan kedudukan Batu Karang
    sebesar 7 cm

Itulah antara yang membuatkan saya jadi keliru. Sedangkan doktor pakar memberi amaran dengan lembut; "Jangan makan sebarang ubat selain ubat hospital dan jangan makan sebarang herba....".

Dua minggu sebelum dibedah pada 18 Julai 2016, puteri sulong membawa saya bertemu dengan seorang pengamal perubatan altinatif. Caranya bagus juga. Memberi semangat bahawa Batu Karang saya tidak besar. Beliau memberi ubat untuk rawatan. Selepas makan ubat tersebut urin saya kelihatan bersih. Tapi ketika pembedahan dibuat pada 18 Jun 2016, Batu Karang agak besar hingga hampir penuh botol urin yang sering diberikan kepada pesakit untuk membuat ujian air kencing. 

Batu Karang yang dikeluarkan pada 18 Jun 2015.



(Dua gambar diatas adalah jenis Batu Karang yang dikeluarkan dari Buah Pinggang saya. Gambar atas adalah Batu Karang yang baru dikeluarkan berwarna kemerahan kesan darah. Batu ini teradapat bau air kencing. Manakala gambar dibawah Batu Karang yang telah berusia setahun selepas dibedah. Masih terdapat bau air kencing. Lima biji Batu Karang tersusun dibawah adalah batu yang keluar dari saluran kencing seminggu selepas saya dibedah. Oleh itu kepada anda yang takut dibedah maka lihatlah jenis Batu Karang ini. Jika tidak dibuang kesannya akan mencepatkan kerosakkan Buah Pinggang. Nasihat saya berubatlah cara yang betul sebelum menyesal!! ) Sila baca rencana mengenai jenis-jenis Batu Karang.

Selepas pembedahan kali pertama saya kembali berjumpa doktor pakar di klinik Surgery HCTM. Batu Karang saya masih terdapat dua biji dalam Buah Pinggang sebelah kiri. Pada bulan April doktor memberi tarikh baru untuk dibedah iaitu pada 13 Julai 2016. Saya yang minta tarikh itu. Kerana bulan Mei dan Jun saya akan menunaikan umrah. 

Kedudukan Batu Karang yang berbaki selepas pembedahan
18 Jun 2015


Sepanjang tempuh menunggu tarikh 11 Julai 2016 untuk masuk wad, hati saya tenang. Saya banyak menunaikan solat taubat, hajat, tahajut dan duha. Kebetulan ketika itu saya sedang bersiap untuk menunaikan umarah.

Ketika menunaikan umrah hati saya tenang. Dalam Raudah di Masjidil Nabawi dan depan Kaabah saya memohon kepada Allah agar pembedahan saya selamat. Ketenangan berada pada tahap yang baik ketika itu. Balik ke tanahair saya sambung lagi melakukan kyiamulai. Kebetulan ketika balik ke tanahair bulan Ramadan masih muda. Saya ambil kesempatan itu untuk meminta Allah selamatkan saya.

Umur kita hak Allah. Oleh segala penyakit yang datang itu pun adalah hak Allah. Kita usah kesal. Kita usah berputus asa dengan ketentuan-Nya. Tulisan saya di sini dan di Ya Allah Panjangkan Usiaku juga sebagai panduan untuk kita  merenung kembali hak-hak Allah. Kita ditakdirkan mendapat apa jua penyakit adalah ditentukan oleh Allah. Berat atau ringan itu hak Allah juga. Oleh itu pesan saya jika hendak berubat pastikan perubatan yang tidak mengelincirkan iman. Kita orang Islam maka buatlah mengikut lunas-lunas Islam.

Penyakit datang dengan ubatnya. Maka berubat juga kena berhati-hati. Ada orang ketika sakit lupa Allah. Sedangkan Allah yang menurunkan penyakit itu kepada kita. Kita mungkin melakukan kesilapan terhadap tubuh badan kita maka kembali bertaubat kepada Allah. Kita makan dengan makanan yang merosakkan badan. Maka kita dah memusnahkan tubuh badan yang diamanahkan. Oleh itu berubat dan bertaubatlah.

Gunakanlah kaedah perubatan yang tidak memusanahkan iman. Gunakan doa-doa yang mustajab disamping memakan ubat yang bersesuaian. Lakukan solat untuk kembali ke jalan Ilahi. Allah dengar rintihan kita. Solat Tahajut membuatkan diri kita lebih dekat dengan Allah. Solat Duha memanjangkan rezeki kita. Minta rezeki dimurahkan maka pastinya umur kita akan panjang. 

Bersedekahlah dengan kadar yang termampu. Kerana sedekah mampu mengubati banyak penyakit termasuk penyakit jiwa. Bila jiwa tenang, fizikal akan sihat. Bayarlah zakat untuk menyucikan harta. Bila harta dah suci maka kita makan rezeki yang halal. Setelah makan makanan yang halal Insyaallah penyakit akan pulih. Orang yang membayar zakat dan bersedekah orang itu akan sering mendapat doa daripada orang lain. Terutama orang miskin. Doa orang miskin memujarabkan kepada pemberinya.

Itulah perkara-perkara yang saya lakukan. Saya pasrah kepada Allah. Saya elak bertemu bomoh (amalan syirik) yang akan menyesatkan. Bedah batin? Ingat kalau ada bedah batin Rasullullah lebih awal dibedah oleh Jibrail. Tetapi Baginda dibedah didepan kawan-kawannya. Jibrail membedah dan membersihkan hati Rasullullah dengan Air Zam-Zam. 

Tapi kena ingat berubat dengan doktor juga harus berimankan bahawa Allah yang akan menyembuhkan bukan doktor. Doktor hanya pelakukan yang diberikan ilmu oleh Allah. Oleh itu doa lebih diutamakan bersama berubat dengan doktor. Maka itulah yang dikatakan Tawakal.

Kedudukan Batu Karang saya yang discan pada 19 Julai 2016.
Telah kecil.

Saiz Batu Karang dirakam oleh CT Scan pada
27 Septembe 2016. Berbaki satu sahaja lagi.




Ini nota  bertarikh yang saya hantar kepada seorang sahabat seorang ustaz bertarikh 24/06/2015 9.26 PAGI

" Assalamualaikum ustaz. Disaat saya diuji banyak perkara yg tercetus dlm minda ini. Rasanya perkara yg saya kisahkan tak molek d tulis dlm FB amat kuatir dikatakan riak. Takut siapa yg tak takut. Malahan saya bersedia jika itu yg Allah tentukan. Namun saya yakin mati pasti. Dan ketentuan itu Allah saja tahu. Saya berlapang dada apabila mengenangkan hubungan silatulrahim saya amatkan antara keluarga dan sahabat. Saya hubungi persatuan anak yatim dimana sumbangan dibuat setiap bulan. Minta mereka doakan saya. Saya yakin dengan doa fakir miskin yg menerima sebahagian zakat saya yg dibuat melalui potongan gaji. Malahan saya telah membuat wasiat harta yg ditinggalkan diinfaqkan beberapa peratus kpd anak-anak yatim, surau taman saya. Kekuatan kefahaman saya pada quran dan hadis maka lakukan. Syukur ustaz, saya dapat masuk bilik bedah utk 6 jam dgn wuduk. Saya tidak diberikan mimpi neraka ketika dibius. Saya tidak diberi mimpi syurga ketika itu kerana saya beriman kedua-dua tetap ada. Ustaz, saya berikan pengalaman ini mungkin dapat ditazkirahkan di mana jua ustaz diberi peluang. Memang hebat ujian Allah. Cukup hebat kuasa Allah. Maha Pengasih Dia kepada kita. Saya antara hambaNya telah menemuinya. Selamat berpuasa."




Ini nota-nota bertarikh 20/07/2016 6.05 pagi yang saya hantar kepada seorang pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM yang memberi semangat ketika saya menderita di katil hospital:


"Assalamualaikum Dr. Malam ini saya tidur dengan nyenyak dan aman sekali. Terima kasih dengan prihatin peribadi Dr dan doa buat saya. Dr adalah antara ribuan org termasuk isteri dan anak2 yg berdoa buat saya. Ini rahmat Allah berikan kpd saya. Saya telah membulatkan tekad bahawa dlm beriman Allah sentiasa bersama kita dlm apa jua keadaan. Sebab itu ketika sihat telah mendirikan solat sebaik mungkin. Kerap melakukan tahajut dan dhuha. Kekuatan ini dtg lebih kuat ketika hendak ke tanah suci dan ketika berada di sana. Syukur ketika balik ke sini Ramadan masih muda tahun ini. Ini isi hati saya sebagai pesakit utk Dr kongsikan dlm dakwah di masa depan. Saya izinkan. Iman kita akan turun atau tidak pastinya ketika diuji dengan sakit.


Tetapi saya diberitahu ketika sakitlah kita sedang diampun dan ditawarkan syurga.


Mana mungkin seorang isteri yg akan sanggup setiap minit berada disebelah kita kerana dia juga ada tanggungjawab sendiri kpd dirinya. Jadi semasa kekosongan itulah Allah tetap mendengar rintihan kitakan....Walaupun dlm solat dan doa telah saya mohon tetapi saya tak malu ketika berbaring diwaktu pesakit lain sedap tidur menahan sakit saya merintih dengan Allah. Keajaban berlaku pedih saya di kawasan surgery hilang dan terasa dingin. Inilah nikmat yg telah saya perolehi itu. Saya belum pasti akan diberi lagi jika lupa kpd-Nya dan tidak memohon. Rasanya inilah yg kerap diperolehi oleh ulamak kita. Kisah tuan guru Nik Aziz bertahajut ketika sakit saya ambil ikhtibar. Malah seorang bekas bilal di kampung saya juga yg solat berbaring hingga kini ambil tauladan.


Maaf dengan catatan yg panjang. Itulah hakikat kita yg kena dikongsi bersama.
Assalam dan salam Subuh dari katil 21 wad 5D"



Insyaallah catatan ini dan catatan di Ya Allah Panjangkan Usiaku belum tamat. Saya akan menulis demi meluahkan apa yang berada dalam fikiran saya. Saya akan menulis selagi ada kudrat demi menyelamat iman saya dan sesiapa saja. Namun jika tulisan di Ya Allah Panjangkan Usiaku tidak bersambung maka itu tandanya saya sedang tenat atau telah kembali ke Rahmatollah. Maka jika itu terjadi ampunkan dosa saya. Halalkan makan minum saya selama kita bersama. Mati itu pasti maka kita wajib beriman kepada-Nya. Wallahuwaklam. Amin

Abd. Raai Osman, Desa Sentosa, Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, Selangor.
raaios@yahoo.com 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan