28 Mei 2017

Jangan Tinggalkan Puasa Ye.......

Sejak tahun 2015 bersamaan 1436 hijrah telah mengubah kehidupan saya sebagai seorang lebih insaf tentang kehidupan ini. 1 Ramadhan 1436 bersamaan 18 Jun 2015 saya dibawa masuk ke bilik bedah Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM-PPUKM) dan dibius untuk tempoh enam jam.. Boleh baca kisah seterusnya di sini Ketika Saya Sakit.

Selepas itu saya tidak berpuasa selama 21 hari sepanjang bulan Ramadhan. Hanya dapat berpuasa 8 hari sahaja. Saya perlukan air sepanjang masa kerana air kencing saya masih bercampur dengan darah dan badan masih lemah. Saya tinggalkan bersolat Terawikh sepanjang bulan itu. Saya menangis sepanjang masa tetapi tiada siapa yang tahu. Saya tidak mahu orang lain nampak termasuk isteri dan anak-anak. Tiada selera makan. Berat badan turun sebanyak 15kg. Isteri  menyediakan bubur nasi untuk saya. Itu saja yang dapat mengisi perut saya. Sedangkan air diperlukan untuk menyuci Buah Pinggang saya yang masih terdapat darah.

Terus terang saya katakan kemurungan  telah menimpa saya. Saya kawal emosi itu dengan membaca buku-buku agama dan motivasi. Saya teruskan bersolat hanya di rumah. Tetapi masih tidak selesa kerana tidak dapat ke surau atau masjid.

Betul kata Prof Madya Dr. Hasnan Kasan, UKM, sakit yang menyerang kita adalah satu tazkirah yang paling berkesan jika dibandingkan dengan tazkirah Subuh atau Maqhrib. Saya teruskan kehidupan selepas Syawal. kekuatan datang kembali. Saya qado' (ganti) selepas itu dengan berpuasa. Syukur sebelum Ramadhan 2016/1437 hutang puasa selama 21 hari selesai.

Tiada ada orang dapat menahan air mata ketika berdepan dengan Kaabah.
Tambahan kepada mereka yang pernah diuji oleh Allah.
Allah menentukan dengan usaha  dan doa saya maka pada 1 Ramadhan 1437 bersamaan 6 Jun 2016 saya menyambut kehadiran Ramadhan di Tanah Suci Mekah. Di depan Baitullah (Kaabah) saya menangis. Paling terkesan 1 Ramadhan saya melakukan tawaf ia itu rukun Umrah. Syukur kepada Allah sepanjang  tujuh pusingan itu saya mampu lakukan dengan sempurna. Sila baca kisah ini di Dua Tanah Suci Yang Tetap Dirindui

Sepanjang bulan Ramadhan 1437/2016 saya menikmati suasana berpuasa paling hebat. Inilah rahmat-Nya kepada saya. Saya lakukan ibadah puasa tanpa rasa apa-apa kesudahan. Pada 2 Syawal selepas itu saya memulakan puasa 6 hari. Hari terakhir berpuasa enam, saya mendaftar masuk Wad 5D HCTM. 8 Syawal saya dibawa masuk sekali lagi ke bilik bedah. Saya dibius untuk tempoh tiga jam

Lelaki tidak boleh menangis di hadapan sesiapa. Terutamanya di depan isteri dan anak-anak. Sembunyikan perasaan itu kecuali menangislah di depan Allah. Kita tidak boleh sujud di depan manusia. Yang berhak disujud adalah di depan Allah.

Kenapa harus kita jauhi Allah? Lupa solat dan segala-galanya. Malah ada orang yang tidak pernah bersujud selama lebih lima atau enam puluh tahun. Tidak pernah berpuasa dalam tempoh itu. Saya tidak pernah meninggalkan puasa sejak akhil baliq tetapi terpaksa tidak berpuasa kerana faktor kesihatan terasa amat rugi dan menyedihkan. Bagaimana dengan mereka yang meninggalkan segala amal ibadat dalam tempoh terlalu lama?

Lihatlah nikmatnya berbuka puasa di Masjid Nabawi, Madinah.
Kita masih ada lebih 20 hari lagi untuk berpuasa. Lakukanlah ibadah ini. Jangan bila kita betul-betul sakit dan tidak boleh berpuasa, kita menyesal. Malah hingga ada yang berkata bernazar untuk buat sesuatu jika sihat seperti sedia kala. Menyesal kerana meninggalkan puasa dan ibadah-ibadah lain. Nyawa kita Allah boleh ambil pada bila-bila masa.

Pagi tadi ketika kuliah Subuh, Ustaz Nasrin Haji Muti, Imam 1 Masjid Sungai Merab, Selangor bercerita ada seorang hamba Allah datang ke masjid tempat beliau menjadi Imam dengan sebuah kontena membawa beras untuk membayar fidyah kerana meninggalkan puasa. Allah Huakbar. 

Marilah berpuasa jika sebelum ini tidak pernah berpuasa. Marilah kita berpuasa dengan sempurna jika sebelum ini tidak sempurna. Kecuali anda wanita yang ada uzur ketika datang haid. Marilah kita isi perkara-perkara kebajikan untuk dibawa ke hari akhirat. Kehidupan kita singkat. Meriahkan Ramadhan dengan beribadat bukan bersiap-siap untuk berhari raya sehingga sebulan. Lupakan dan kurangkan pesta raya. Jangan dengar lagu raya tetapi baca dan dengarlah Al -Quran.

Amat sedih kata Ustaz Hasrin jika ada oran g berkata "Emmm kita akan berpuasa esok, macam baru sahaja tinggalkan Ramadhan" Malah ada yang terkejut "Eh esok puasa ke?" Jadikan sebutan Syoknya puasa bukannya Syoknya raya. Sedangkan puasa masih lama lagi nak habis.

Jadilah seperti sahabat Rasullah yang membuat persiapan untuk Ramadhan enam bulan sebelum dan menangis ketika Ramadhan telah pergi ketika malam 1 Syawal.

Selain berpuasa isikan masa-masa siang dan malam beribadah dengan membaca Al-Quran, bersolat fardu, solat sunat, bersedekah dan sebagainya.

Tahukah kau orang, jika selepas membaca catatan ini tetapi tidak insaf, kau orang akan menyesal ketika terlantar sakit. Masa itu hanya menanti mati sahaja.....

2 Ramadhan 1438/28 Mei 2018
Catatan in sempena setahun saya dan keluarga menunaikan Umrah.

_______________________________________________________________________________
MARI BERFIKIR SEJENAK

(Disusun berdasarkan tazkirah yang saya hadir)

Hikmah bangun bersahur di hujung waktu:

Bangun sekitar jam 4 pagi untuk penyediaan juadah oleh isteri-PAHALA.

Seawal begitu sempat bersolat Taubat, Tahajut, Hajat dan ditutup dengan Witir-PAHALA YANG BESAR.

Makan Sahur sebelum Imsak berfaedah untuk memberi tenaga dan kekuatan sepanjang hari berpuasa walaupun seteguk air atau sebiji kurma. Dengan kekuatan ini mampu memberi pandangan kepada bukan Islam bahawa orang Islam cukup hebat tidak makan dan minum di siang hari. - PAHALA PALING HEBAT.

Selepas bersahur bergeraklah ke Masjid atau surau untuk berjemaah solat Subuh. Kekuatan solat Subuh mampu mewujudkan kekuatan umat Islam yang mana mampu menewaskan musuh Islam tanpa perlu berperang!

2 ulasan:

Cara jaga kamera

Sila klik  dan tonton video