Ketika Bonda dan Ayahanda kembali ke Rahmatollah

Imeg:homefamilysite
Kita mungkin tidak pernah menyerapkan satu perasaan kenapa ustaz-ustaz sering kali menyarankan anak menjadi imam ketika ibu atau ayah meninggal dunia. Begitu juga kita mungkin tidak pernah terfikir untuk menghayati cara-cara memandikan jenazah, terutamanya jenazah itu ibu atau ayah kita.

Tanyalah kepada ustaz-ustaz apa yang mereka rasai ketika pertama kali melakukannya. Mungkin mereka tidak merasai apa-apa jika telah berpuluh atau beratus jenazah yang telah dimandikan atau di solatkan sebagai imam.

Secara jujurnya saya ingin mengajak anda mempelajari kaedah memandikan, mengkafankan dan menjadi imam solat jenazah. Pergilah ke mana-mana kursus yang dianjurkan oleh masjid, surau, jabatan tempat kerja bagi mengetahui selok belok pengendalian jenazah. Tidak kira anda lelaki atau wanita bagi saya ilmu ini perlu dipelajari.

Ibu kita tanpa memikirkan kesakitan yang teramat sangat untuk melahirkan kita. Ada ayah yang mampu membersih dan menanam uri hasil kelahiran kita. Kenapa kita tidak pernah terfikir jika mereka meninggal kelak kita salah seorang yang menguruskan tubuh mereka yang telah kaku. Nikmatilah susuk tubuh yang selama ini telah bertanggunjawab melahirkan kita ke dunia ini.

Ingat, itulah kali terakhir kita menjamah tubuh mereka. Tahanlah perasaan sedih waktu itu. Insyaallah Allah akan memberikan ganjaran buat kita dan arwah ibu atau ayah anda. Saya masih ingat pertama kali membantu memandikan ayah kepada seorang kawan. Kampung tempat saya tinggal mengamalkan kaedah meriba jenazah. Manakala orang yang mahir memandikan jenazah hanya menjirus jenazah itu.

Kali kedua ibu saya pada tahun 1990. Kami anak beranak, menantu ibu meriba tubuh ibu sambil  meratakan air ketika dimandikan. Kakak saya dibahagian pinggang. Manakala saya di muka ibu. Isteri dan abang ipar saya pada anggota lain. Mungkin kaedah ini tidak lagi digunakan kerana telah ada bekas mandian yang lebih sempurna.

Ibu atau ayah kita itu kali terakhir kita sentuh sebelum dibawah ke perjalanan terakhirnya meninggalkan dunia ini. Hantarkanlah mereka dengan penuh keselesaan. Waktu itu kita sahaja yang dapat melihat rahsia tubuh mereka. Pastinya jika ada kecacatan tidak akan dihebahkan.

Proses ini akan berakhir dengan mengkafankan jenazah itu. Bantulah menyempurkan kerja-kerja mengkafankan ibu atau ayah kita.

Bersedialah menjadi imam untuk solat jenazah ibu dan ayah anda. Hal ini diutamakan kepada anak lelaki. Belajar bagaimana untuk menjadi imam. Belajar sejak mereka masih sihat. Masuklah ke saf-saf solat jenazah orang lain terlebih dahulu sebagai makmum. Insyaallah jika telah mahir maka mudah bagi anda menjadi imam. Mulakanlah berjemaah di masjid atau surau untuk menjadi jemaah bagi solat-solat lima waktu. Maka anda tidak akan kekok untuk ke depan menjadi imam solat jenazah.

Apa yang anda rasai tidak mudah diceritakan kepada orang lain. Ketika itu anda akan rasai kecil diri di sisi Allah. Hilang takbur anda. Bayangkanlah tubuh yang kaku terbaring di depan anda dan jemaah lain. Walaupun jenazah itu tidak boleh berkata-kata lagi, tetapi mata hati anda akan merasai seolah-olah jenazah itu merenung pilu untuk meninggalkan dunia ini.

Percayalah, yakinlah ibu atau ayah kita mati dalam erti kata meninggalkan dunia ini dan dia akan hidup semula di Alam Barzah dan akan menerima habuan yang pernah dilakukan diamalkan semasa masih hidup. Kita mungkin hiba, pilu dan syahdu ketika berada di depan jenazah itu tetapi kita sendiri akan merasai keinsafan yang paling hebat.

Saya sekadar menceritakan pengalaman yang pernah dirasai. Barangkali pengalaman ini hampir sama tetapi tidak dikongsi untuk semua orang. Hiduplah dengan tidak mengabaikan segala suruhan Alllah sebelum kita disembahyangkan.


NUKILAN: ABD RAAI OSMAN

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah